Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi KOMTAR dan Setiausaha Publisiti DAP Negeri Pulau Pinang pada 5hb Mei 2009, Selasa di Georgetown, Pulau Pinang:

Jaminan bahawa data peribadi warga emas tidak disalahgunakan

Dakwaan Dr Teng Hock Nan bahawa data peribadi warga emas kemungkinan besar akan disalahgunakan atas sebab borang-borang pendaftaran bagi warga emas telah dikeluarkan walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum memutuskan cara untuk menghargai sumbangan warga emas dalam negeri merupakan sesuatu yang tidak berasas sekali.

DAP ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berprinsipkan Cekap, Akauntabel dan Telus (C.A.T.) tidak akan menyalahgunakan data peribadi yang dibekalkan oleh warga emas semasa pendaftaran dijalankan.

Borang-borang yang dikeluarkan tidak akan diagihkan dan warga emas dikehendaki datang ke pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat serta bertemu dengan JKKK di tempat-tempat tertentu untuk mendaftarkan diri merupakan amalan kita supaya data peribadi tersebut tidak akan disalahgunakan.

Selain itu, Y.B. Phee Boon Poh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mengarahkan supaya semua salinan kad pengenalan dipalang dan dicatatkan kegunaannya juga merupakan antara langkah-langkah pencegahan yang kita ambil untuk memastikan tiada mana-mana pihak dapat menyalahgunakan kad pengenalan mereka.

Kita melancarkan kempen pendaftaran mulai 1hb Mei 2009 atas sebab Hari Pekerja merupakan masa yang paling sesuai bagi kita mengenang budi dan sumbangan golongan warga emas terhadap pembangunan Negeri Pulau Pinang. Ini bukan dilancarkan secara tergesa-gesa walaupun Y.A.B. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang telah membuat pengumuman awal sejak 7hb Mac 2009 lagi.

Kita mesti mengumpul semua data yang diperlukan, termasuk latar belakang dan pendapatan seisi keluarga warga emas yang ingin didaftarkan, sebelum Kerajaan Negeri dapat membuat analisis serta menetapkan cara yang sesuai untuk membantu warga emas. Tempoh pendaftaran akan berakhir pada 8hb Mac 2009.

Ini menunjukkan bahawa kempen yang kita lancarkan tidak bertujuan untuk publisiti murahan sahaja dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sanggup menghabiskan masa yang lebih panjang bagi mendaftarkan setiap warga emas dalam Negeri Pulau Pinang supaya setiap individu yang berkelayakan dapat dimanfaatkan.

NG WEI AIK