Mukadimah

1. Tuan Speaker, terima kasih atas peluang yang diberikan bagi saya menyertai perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sempena perasmian mesyuarat pertama penggal yang kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang keduabelas.

2. Sudah setahun Pakatan Rakyat memerintah, rakyat jelata inginkan lebih banyak perubahan dilakukan ke atas sistem pemerintahan ini walaupun mereka penuh dengan harapan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Y.A.B. Ketua Menteri.

3. Dalam tempoh setahun yang lepas, kita telah menyaksikan pelbagai dasar yang baru yang merangkumi semua aspek digubal oleh kerajaan ini, termasuklah memperkenalkan urustadbir yang berpandukan prinsip-prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (C.A.T.) di samping memberi layanan yang adil dan saksama terhadap keperluan asas semua kaum.

4. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Negeri telah menunjukkan sikapnya yang berani dengan mensasarkan supaya kemiskinan tegar dihapuskan dalam tempoh pemerintahan yang singkat yang kurang genap setahun.

5. Ini merupakan sesuatu yang tidak mungkin dicapai oleh Barisan Nasional walaupun telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara ini, termasuk Negeri Pulau Pinang dalam tempoh 51 tahun yang lepas.

6. Syabas, Pakatan Rakyat!

Kemiskinan Tegar

7. Ini tidak bermakna bahawa Barisan Nasional tidak prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin tegar. Lihatlah apa yang berlaku pada Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang dikelolakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPPT).

8. Di Pulau Pinang, kerja-kerja penyelarasan bagi program tersebut adalah terletak di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan. Bantuan yang diberikan termasuklah bantuan sewa rumah, bantuan kemasukan ke sekolah / institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan kos pengangkutan ke sekolah, bantuan kos jagaan kanak-kanak ke taska/tadika/jiran individu, bantuan kos pengangkutan ke tempat kerja, bantuan kos rawatan dialisis buah pinggang.

9. Kebelakangan ini, difahamkan suatu arahan telah disampaikan oleh pihak atasan bahawa kesemua permohonan bagi PPKB yang diterima di Negeri Pulau Pinang tidak akan diproseskan sehingga awal tahun 2010 atas sebab yang agak aneh, iaitu atas sebab negeri ini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

10. Apabila ditanya secara lebih lanjut, sebab yang lain telah diberikan. Kali ini, alasannya pula sistem komputer Unit Penyelarasan Pembangunan sedang dinaiktarafkan dan proses ini dijangka berlanjutan sehingga akhir tahun ini.

11. Adakah udang di sebalik batu, di mana kita terpaksa menunggu lebih setengah tahun supaya sistem komputer dapat dipertingkatkan tanpa perlu membuat sebarang kerja supaya semua permohonan yang telah diterima dapat diproseskan? Adakah golongan miskin tegar berupaya untuk menunggu tempoh yang begitu panjang tanpa sebarang bantuan dihulurkan kepadanya?

12. Inilah sikap Barisan Nasional yang berbeza langsung dengan Pakatan Rakyat! Barisan Nasional menghulurkan bantuan terhadap golongan miskin tegar untuk tujuan politiknya sahaja, manakala Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terus berusaha untuk mencari dan menghubungi setiap warga miskin tegar tanpa mengambil kira di mana mereka tinggal dan apakah latar belakang politik mereka.

13. Sebelum itu, terdapat segelintir pegawai kebajikan lantikan MCA secara berkontrak cuba sabotaj Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran miskin tegar sifar. Ini merupakan sikap kurang profesional dan tidak neutral yang tidak patut ditunjukkan oleh seorang kakitangan awam. Persoalannya, adakah sebarang tindakan disiplin telah diambil terhadap mereka?

14. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk melucutkan kesemua pegawai kebajikan yang berlatarbelakangkan parti politik supaya kakitangan-kakitangan awam kita dapat menunjukkan profesionalisme dan bersikap bebas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka?

Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan

15. Mengikut Sistem Star Rating PBT yang diumumkan oleh KPKT, MPPP berada di tangga ke-21 dengan markah 68.75 manakala MPSP berada di tangga ke-16 dengan markah 72.05. Ini merupakan sesuatu rekod yang kurang membanggakan dan tamparan kuat bagi MPPP walaupun Georgetown merupakan PBT pertama di Malaysia yang mengadakan pilihan raya tempatan pada Disember 1951.

16. Adakah prestasi MPPP semakin merosot selepas Pakatan Rakyat menerajui pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, seperti didakwa oleh sesetengah pemimpin Barisan Nasional? Mengapakah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional hanya tahu menunding jari terhadap orang lain sedangkan MPSP terus mengalami bajet deficit yang menyebabkan penambahan penyusutan kumpulan majlis pada 2008 menjadi sebanyak RM248,395,316 berikutan pengurusan kewangan yang tidak cekap?

17. Dengan perlantikan Yang DiPertua MPPP sebagai Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, maka saya berharap Kerajaan Negeri dapat melantik seorang yang benar-benar berkaliber sebagai Yang DiPertua MPPP yang baru supaya rombakan besar lagi menyeluruh dapat dilakukan ke atas MPPP, selaras dengan kehendak C.A.T. yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Pendekatan yang sama perlu dilakukan ke atas MPSP supaya mana-mana pegawai yang tidak berprestasi C.A.T. juga perlu dibersihkan.

18. MPPP dan MPSP merupakan dua agensi kerajaan yang penting dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata setiap hari. Prestasi, kecekapan dan keberkesanan kedua-dua agensi ini dalam pelbagai aspek, khasnya kepantasan bertindak terhadap sesuatu aduan yang diterima, tempoh masa untuk memberi kelulusan terhadap sesuatu permohonan dan ketegasan serta keadilan dalam penguatkuasaan selalu dapat membentuk persepsi rakyat terhadap prestasi sesebuah kerajaan negeri.

19. Tidak dapat dinafikan terdapat Little Napoleon yang masih bermaharajalela dalam MPPP dan MPSP. Mereka cuba menggunakan segala kesempatan yang ada pada kelemahan sistem pentadbiran dan pengurusan untuk kepentingan-kepentingan tertentu. Walaupun keputusan yang dibuat melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan adalah sah tetapi kesesuaiannya masih boleh dipertikaikan.

20. Satu contoh yang ingin saya sebut adalah berkenaan dengan perlantikan pekerja-pekerja kontrak yang kebanyakan dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran ke lebih 100 jawatan tetap dalam MPPP telah mengakibatkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja-pekerja kontrak yang lain, di mana mereka mendakwa bahawa terdapat pekerja-pekerja yang dilantik tidak berprestasi baik, termasuk sering mengambil cuti yang panjang, pernah dikenakan tindakan disiplin dan terdapat juga pekerja yang hampir-hampir digantung kerja atau ditamatkan kontrak atas masalah disiplin mereka.

21. Memandangkan perkhidmatan perbandaran MPPP akan diswastakan kepada E-Idaman Sdn. Bhd. tidak lama lagi, jikalau pekerja-pekerja yang berprestasi baik tetapi tidak dilantik ke jawatan-jawatan tetap diambil alih oleh syarikat tersebut, maka ini merupakan suatu kerugian besar dari segi sumber manusia bagi MPPP. Penjelasan MPPP bahawa kesemua perlantikan dibuat dengan berdasarkan perakuan oleh panel temuduga adalah kurang memuaskan memandangkan tiada maklumat dibekalkan bahawa berapakah orang di kalangan mereka yang bermasalah disiplin telah dilantik ke jawatan-jawatan tetap tersebut dan apakah rasionalnya bagi perlantikan mereka.
Penguatkuasaan PBT

22. Dari segi penguatkuasaan, Pihak Berkuasa Tempatan perlulah bertindak tegas tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang melanggari undang-undang. Terdapat suatu kes di mana sebuah restoran yang berhadapan dengan Red Rock Hotel, Jalan Macalister dibina semula oleh pemunya restoran tanpa kelulusan pelan bangunan telah saya rujuk kepada MPPP untuk tindakan selanjutnya.

23. Namun, penakrifan undang-undang yang sempit oleh MPPP ke atas Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah melambatkan tindakan perobohan ke atas restoran tersebut, sehingga restoran tersebut masih dapat terus beroperasi sehingga hari ini. Penakrifan yang sempit ke atas Seksyen 72(1), Seksyen 72(6) dan Seksyen 97 akta tersebut mengkehendaki MPPP hanya mengambil tindakan perobohan ke atas sesuatu bangunan yang dibina tanpa kebenaran selepas notis ketiga dikeluarkan.

24. Notis pertama adalah dikeluarkan di bawah Seksyen 72(1) terhadap bangunan yang telah didirikan atau sedang didirikan atau hampir hendak didirikan tanpa diduduki oleh penduduk yang mengkehendaki pemunya jangan memulakan atau meneruskan pendirian bangunan serta meruntuhkan bangunan itu dengan serta-merta atau dalam tempoh 7 hari.

25. Notis kedua adalah dikeluarkan di bawah Seksyen 72(6) terhadap penduduk-penduduk bangunan yang mengkehendaki mereka mengosongkan bangunan itu dalam tempoh 30 hari dan PBT boleh selepas tamat tempoh itu memasuki bangunan dan memindahkan sesiapa jua atau apa-apa harta alih yang terdapat di dalamnya.

26. Notis ketiga adalah dikeluarkan di bawah Seksyen 97 supaya PBT boleh memasuki mana-mana rumah kediaman yang benar-benar diduduki dengan memberitahu penduduk itu 24 jam terlebih dahulu. Ini bermakna bahawa tindakan perobohan perlu diambil terhadap struktur bangunan yang haram selepas notis di bawah Seksyen 72(1) telah dikeluarkan. Jikalau tidak, sebarang struktur bangunan haram yang telah disiapkan tidak dapat dirobohkan dengan mudahnya jikalau bangunan itu telah diduduki orang.

27. Saya berpendapat bahawa penakrifan undang-undang yang sempit terhadap undang-undang yang sedia ada sememangnya merupakan halangan bagi Kerajaan Negeri yang menegaskan prinsip-prinsip C.A.T. untuk mengambil tindakan segera terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jikalau tindakan penguatkuasaan tidak diambil dalam masa yang tersingkat, ini akan memberi gambaran salah seakan-akan pihak kerajaan tidak serius akan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan tersebut.

Atendan Letak Kereta Haram

28. PBT tidak memandang serius terhadap atendan letak kereta haram yang bermaharajalela di sekitar kawasan bandar, seperti di Upper Penang Road, Taman Reservoir, Jalan Macalister, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Campbell, Esplanade, Lebuh Chulia di bahagian pulau; dan Seberang Perai pula, berdekatan dengan Padang MPSP di Butterworth, sekitar Megamall Pinang di Perai dan sebagainya.

29. Rekod menunjukkan hanya satu atendan letak kereta haram yang ditangkap pada tahun 2007 dan 13 ditangkap pada tahun 2009 oleh MPSP yang tertubuhnya unit polis bantuan. Bagi MPPP yang tidak tertubuhnya polis bantuan, maka telah dinyatakan bahawa Majlis tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Minor Offences Act atau Undang-Undang Kecil yang lain untuk mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta yang haram.

30. Dinyatakan bahawa Perintah Letak Kereta (Sistem Meter) dan Sistem Bertiket MPPP dikuatkuasakan oleh Penguatkuasa MPPP. Kedua-dua perintah tersebut dibuat di bawah Bahagian III Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menetapkan di bawah Seksyen 72 perkara-perkara yang boleh diperuntukkan di bawah perintah berkenaan. Namun, dinyatakan bahawa isu berkaitan dengan kawalan atendan letak kereta haram tidak diperuntukkan di bawah Seksyen 72. Oleh itu, ianya tidak menjadi satu kesalahan di bawah kedua-dua perintah berkenaan.

31. Ini bermakna pegawai penguatkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta haram selain daripada melaporkan kepada pihak polis dan meminta polis mengambil tindakan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan. Walaupun begitu, apabila saya memohon bantuan polis dalam konteks ini, polis pula mendakwa bahawa tanggungjawab tersebut sepatutnya dipikul oleh MPPP tanpa membebankan pihak polis yang sepatutnya lebih fokus terhadap pembanterasan jenayah.

32. Ini lagi suatu contoh yang menunjukkan bahawa MPPP sedang memakai penakrifan undang-undang yang sempit sehingga akhirnya menjejaskan prestasi sendiri dalam mata awam. Adakah MPPP boleh terlepas tanggungjawabnya untuk mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta yang haram? Jawapannya tidak.

33. Mengapakah undang-undang kecil yang sedang dipakai oleh MPPP tidak boleh dipinda untuk membolehkannya mengambil tindakan terhadap golongan tersebut? Walau bagaimanapun, penguatkuasa MPPP masih boleh melakukan tangkapan orang awam (citizen arrest) terhadap atendan letak kereta haram lalu diserahkan kepada pihak polis untuk ditangkap semula seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27, Kanun Prosedur Jenayah.

34. Sistem letak kereta yang MPPP pakai sekarang juga perlu dirombak, termasuk membatalkan sistem perlantikan kontraktor letak kereta serta mengambil tindakan yang tegas terhadap tapak letak kereta persendirian yang tidak berlesen. Hanyalah dengan sistem letak kereta dirombak, tambahan dengan penguatkuasaan yang berkesan, masalah berkenaan dengan atendan letak kereta yang haram dan kontraktor letak kereta yang menjalankan kerja di luar batasan mereka barulah dapat ditangani.
Tindakan TNB terhadap Pengusikan Jangka

35. Pada tahun 2006/2007, terdapat lebih kurang 3,000 pengguna TNB di Negeri Pulau Pinang didakwa mencuri elektrik dengan mengusik jangka meter mereka di mana kebanyakan alasan adalah “terdapat wire by-pass di dalam meter antara incoming dan outgoing”, di mana jumlah tuntutan TNB melebihi RM18 juta.

36. Kebelakangan ini, terdapat banyak pengguna telah menerima notis tuntutan daripada pihak TNB bahawa bekalan elektrik akan dipotong jikalau bayaran tunggakan tidak dibayar. Ada yang menerima notis TNB bahawa kes mereka telah diserahkan kepada bahagian undang-undang TNB untuk tindakan pendakwaan.

37. Ramai pengguna masih tidak berpuas hati dengan tindakan TNB, khasnya pemeriksaan TNB yang tidak mematuhi prosedur serta memasuki premis pengguna mereka tanpa kebenaran walaupun kebanyakan kes tersebut merupakan kes-kes yang lama. Lebih-lebih lagi, terdapat banyak kes di mana bil elektrik sebelum dan selepas pemeriksaan dibuat tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam penggunaan elektriknya.

38. Jikalau dakwaan bahawa jangka meter diusik adalah benar, maka bil elektrik bulanan bagi pengguna tersebut sepatutnya bertambah. Jika diambil suatu contoh, terdapat seorang pengguna yang didakwa mencuri elektrik dan jumlah tuntutan TNB adalah RM10892.72 bagi tempoh 38 bulan yang lepas. Ini bermaksud pengguna tersebut kurang membayar RM286.00 setiap bulan. Namun, bil elektriknya masih kekal pada RM210 – RM230 sebulan.

39. Apabila kes ini dirujuk kepada TNB, alasan mereka pula bacaan meter dan penggunaan elektrik boleh dikawal walaupun pemeriksaan telah dibuat. Adakah ini sesuatu alasan yang boleh menyakinkan semua? Alasan tersebut tidak masuk akal sekali, seolah-olah apa yang dilakukan oleh TNB tidak akan salah manakala pengguna semuanya adalah salah.

40. Disebabkan TNB merancang untuk mengambil tindakan secara besar-besaran terhadap pengguna-pengguna TNB dalam masa terdekat, saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil suatu pendirian tegas supaya kesemua tindakan TNB ditangguhkan supaya suatu kaedah penyelesaian dapat dicapai di antara kedua-dua pihak, ataupun dengan cara yang lain, Kerajaan Negeri mengumumkan suatu pengampunan (amnesty) di mana semua pengguna yang didakwa mencuri elektrik terus membayar amaun tunggakan 3 bulan tanpa TNB melanjutkan kes tersebut ke mahkamah.

Jambatan Pulau Pinang

41. Selain itu, syarikat konsesi bagi tol Jambatan Pulau Pinang iaitu Penang Bridge Sdn. Bhd. telah mengumumkan pembatalan rebet 20% bagi pemegang kad Touch N Go yang menggunakan jambatan tersebut mulai 1 Mei 2009. Walaupun kaedah ini hanya berkuatkuasa ke atas pemegang kad Touch N Go yang baru, namun pelaksanaan kaedah ini hanya memanfaatkan syarikat tersebut.

42. Pengguna-pengguna jambatan perlu digalakkan untuk membeli dan menggunakan kad Touch N Go. Dengan cara itu, kesesakan lalulintas di hadapan plaza tol dapat dikurangkan. Jikalau rebet 20% tidak lagi diberikan, pengguna-pengguna kad Touch N Go tidak akan bertambah lagi dan kesesakan di atas jambatan akan bertambah serius lagi.

43. Rebet 20% merupakan suatu keistimewaan yang hanya diberikan kepada warga Pulau Pinang yang menggunakan jambatan ini. Jikalau Penang Bridge Sdn. Bhd. dapat mengutip tol sebanyak RM1.7 bilion setahun, pemberian rebet 20% tersebut tidak akan menjejaskan keuntungan syarikat tersebut malah dapat menunjukkannya merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab sosial.

44. Dengan itu, saya meminta pihak kerajaan supaya memainkan peranannya sebagai pengantara untuk berunding dengan pihak syarikat tersebut supaya kaedah yang baru ini dapat dibatalkan dengan serta-merta.
Penubuhan JMB/MC

45. Jumlah keseluruhan skim strata setakat 28 Februari 2009 di bahagian Pulau Pinang adalah sebanyak 884, di mana 342 daripadanya telah ditubuhkan Perbadanan Pengurusan (MC) dan 132 telah ditubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB). Ini bermaksud terdapat 410 skim strata lagi yang belum ditubuhkan MC atau JMB.

46. Bagi Seberang Perai, terdapat 459 skim strata telah dikeluarkan dan hanya 30 daripadanya ditubuhkan MC dan 57 telah ditubuhkan JMB. Dalam kata lain, terdapat 372 skim strata lagi yang belum ditubuhkan MC atau JMB.

47. Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 memperuntukkan bahawa mana-mana pemaju yang gagal mengadakan mesyuarat pertama bagi penubuhan JMB boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya.

48. Pindaan terbaru ke atas Akta Hakmilik Strata 1985 membolehkan pihak pemaju yang mempunyai kepentingan tertentu dalam pengurusan dan enggan menyerahkan hak tersebut kepada pemilik dengan penubuhan MC walaupun sekurang-kurangnya 25% pindahmilik telah disempurnakan boleh dikenakan denda RM25 ribu dan denda tambahan tidak melebihi RM2 ribu bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

49. Namun demikian, Pesuruhjaya Bangunan atau Pejabat Pengarah Tanah dan Galian kita tidak bersikap tegas dan proaktif untuk memastikan setiap skim strata dapat menubuhkan JMB tidak lewat daripada 12 bulan dari tarikh penyerahan milikan kosong petak kepada pembeli dan menubuhkan MC setelah sekurang-kurangnya 25% pindahmilik telah disempurnakan.

50. Pesuruhjaya Bangunan dan Pejabat PTG hanya bertindak atas aduan-aduan yang telah dikemukakan. Bagi skim strata yang tiada aduan dikemukakan, maka tiada sebarang tindakan proaktif diambil supaya JMB atau MC dapat ditubuhkan demi menjamin faedah dan kepentingan pembeli-pembeli petak. Jikalau JMB atau MC tidak dapat ditubuhkan dengan secepat mungkin, maka kumpulan wang penjelas (sinking fund) akan disalahgunakan oleh pihak pemaju sehingga tiada sesen pun dipindahkan ke dalam akaun MC selepas MC lewat ditubuhkan.
Kelulusan Pelan Pindaan Bangunan

51. Suatu lagi masalah umum yang sering dihadapi oleh pembeli-pembeli petak adalah berkenaan dengan pindaan ke atas pelan bangunan diluluskan walaupun terdapat penjualan unit telah dimulakan. Ini akan mendatangkan implikasi yang jauh lebih serius terhadap pihak pembeli, di mana terdapat 700 petak aksesori bagi tempat letak kereta diberikan kepada seorang pembeli petak. Ke mana pembeli-pembeli petak yang lain perlu meletakkkan kenderaan-kenderaan mereka?

52. Terdapat pemaju tertentu yang cuba memanipulasikan sistem yang kita pakai sekarang untuk kepentingannya sehingga menjejaskan kepentingan bersama pembeli-pembeli petak bagi sesuatu skim pemajuan. Atas sebab itu, saya bercadang supaya PBT menggunakan pendekatan baru dalam memproseskan segala permohonan bagi pindaan ke atas pelan bangunan supaya tiada kelulusan diberikan setelah penjualan unit bermula dan kesemua kawasan umum perlu dilabelkan dengan jelas serta nisbah petak aksesori dengan pembeli petak mestilah seimbang demi menjaga kepentingan awam.

Keselamatan Awam

53. Dari segi keselamatan, saya berharap pihak polis dapat mendaftarkan pertubuhan-pertubuhan rondaan keselamatan yang ditubuhkan secara sukarela supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam memerangi jenayah. Janganlah pihak polis tersinggung dengan penubuhan pasukan rondaan sukarela sebegini. Mereka tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab polis malah dapat membantu polis dalam menmbendung kadar jenayah yang semakin meningkat.

54. Terdapat sesetengah Rukun Tetangga enggan meneruskan skim rondaan mereka atas sebab arahan oleh pihak atasan yang melarang Rukun Tetangga untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak berhajat untuk bermusuh atau bertegang dengan mereka. Malah, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan RM1 juta untuk tujuan Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS), supaya mana-mana Rukun Tetangga yang sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri boleh menikmati peruntukan kewangan tersebut.

55. Jikalau bukan wujudnya arahan oleh pihak atasan, saya percaya kebanyakan Rukun Tetangga ingin bekerjasama dengan Kerajaan Negeri yang disokong penuh oleh rakyat Negeri Pulau Pinang ini. Dengan itu, saya ingin menggunakan kesempatan dalam Dewan yang mulia ini untuk menggesa Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik dan bertanggungjawab ke atas hal-ewal perpaduan negara supaya menarik balik arahan tersebut. Wahai Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anak watan Pulau Pinang, janganlah membuat sesuatu yang menjahanamkan anak-anak Pulau Pinang.
Pembangunan Negeri

56. Walaupun Perdana Menteri kita yang baru bukan seorang anak Pulau Pinang, namun pembangunan Negeri Pulau Pinang tidak boleh diabaikan. Sebagai pemimpin negara yang disanjung tinggi, Y.A.B. Perdana Menteri haruslah mengotakan segala janji yang dibuat terhadap Negeri Pulau Pinang, termasuklah mengembalikan projek monorel dan projek Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

57. Sehingga hari ini, masih terdapat banyak pemunya tanah yang memiliki tanah yang terlibat dengan projek pembangunan PORR mengalami kesengsaraan berkenaan dengan tanah milikan mereka telah didaftarkan kaveat sehingga tiada sebarang urusniaga atau pindahan milik dapat dijalankan. Terdapat juga penghuni-penghuni yang menghuni di atas tanah tersebut, termasuk juga penghuni-penghuni yang sejak dahulu menduduki tanah tersebut dengan lesen pendudukan sementara (TOL) hidup dalam kebimbangan atas sebab rumah kediaman mereka tidak diketahui bila akan dirobohkan.

58. Pemunya tanah atau penghuni yang terlibat selalu bertanya-tanyakan bilakah kaveat tersebut dapat dipotong. Kami, seluruh warga dalam Dewan yang mulia ini juga ingin bertanyakan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri yang baru bilakah janji berkenaan dengan projek PORR dapat dikotakan? Demi masa depan dan pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang, mujurlah Y.A.B. Perdana Menteri atas budi baiknya dapat mengembalikan projek PORR kepada warga Pulau Pinang.

59. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak membantah segala projek pembangunan yang dapat memanfaatkan rakyat jelata. Malah, kita menjimatkan berjuta-juta wang rakyat tanpa memboros hasil titik peluh mereka. Kita juga mementingkan pembangunan insan, intelektual, rohani dan jasmani selain daripada pembangunan fizikal. Kita mesti mencapai keseimbangan dalam segala aspek pembangunan supaya anak-anak Pulau Pinang dapat dijadikan insan yang sempurna dan tidak gilakan kuasa dan wang seperti ahli-ahli Pembangkang kita.

60. Sebelum mengakhiri ucapan saya, inginkan saya lafaz rangkapan seperti berikut:

Penanti sedang menanti kita,
PR dan BN bertempur semula;
Tak kira UMNO bertanding atau tidak,
Rakyat tetap inginkan perubahan.

Sekian, terima kasih.

http://pgforward.blogspot.com/2009/04/ucapan-perbahasan-ke-atas-usul-terima.html
http://pgforward.blogspot.com/2009/04/ucapan-perbahasan-2.html
http://pgforward.blogspot.com/2009/04/ucapan-perbahasan-3.html
http://pgforward.blogspot.com/2009/04/ucapan-perbahasan-4.html
http://pgforward.blogspot.com/2009/04/ucapan-perbahasan-5.html