Kenyataan Media

Adalah dimaklumkan bahawa Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang YAB Tuan Lim Guan Eng telah berjumpa dengan Menteri Kewangan Kedua YB Tan Sri Nor Mohamad Yaacob di Parlimen pada Rabu lepas 18hb Mac 2009 bagi merunding status permohonan Syarikat Prasarana Negara untuk memajak tanah kerajaan negeri bagi menyediakan infrastruktur perkhidmatan bas di Pulau Pinang.

Ketua Menteri telah menyuarakan hasrat negeri Pulau Pinang untuk menambahbaik perkhidmatan bas.

Beliau telah memaklumkan kapda Tan Sri Nor Mohamad Yaacob bahawa kerajaan negeri sedia memajak tanah kepada Prasarana Negara tertakluk kepada syarat-syarat yang sudah disampaikan kepada pihak Menteri.

Ketua Menteri memaklumkan kepada mesyuarat Exco pada Jumaat lalu (20hb Mac 2009) bahawa Menteri Kewangan Kedua akan menimbang syarat-syarat yang dikemukakan oleh pihak kerajaan negeri berhubung dengan tempoh pajakan, bayaran pajakan, keahlian dalam Lembaga Pengarah Rapid Penang dan penambahan perkhidmatan Shuttle Bus.

Exco Negeri Pulau Pinang bersetuju dengan syarat-syarat itu dan menunggu jawapan daripada Kementerian Kewangan.

Berhubung dengan tapak-tapak baru, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas juga telah memohon Rapid Penang mengemukakan cadangan yang terperinci supaya Kerajaan Negeri dapat bertindak dengan segera untuk menyelesaikannya.

Chow Kon Yeow
23-3-2009